Thursday, 24 May 2012

Gahnya ISLAM di bulan REJAB

Peristiwa 1 :
Perutusan Zaid bin Harithah yang diketuai oleh Rasulullah s.a.w pada tahun ke-7H ke tempat yang diduduki oleh orang Yahudi seperti Khaibar, Fadak, dan Taima' bagi menggertak mereka. Mereka akhirnya membuat perjanjian damai dengan Rasulullah s.a.w seperti yang dilakukan oleh penduduk Yahudi Khaibar.

Peristiwa 2 :
Pembukaan Damsyik pada tahun ke-14H (630M) secara perdamaian. Abu Ubaidah dan Khalid bin al-Walid mengepung bandar itu sejak Rabiulakhir tahun 14H. Akhirnya, penduduk bandar itu setuju berdamai dengan membayar separuh daripada hasil gereja, rumah kediaman serta mereka dijamin melakukan sebarang ibadat. Begitulah perdamaian yang dilakukan oleh orang Islam dengan membiarkan sesuatu masyarakat yang ditakluki mereka untuk melakukan ibadat dengan bebas, menjamin keselamatan diri dan harta yang akhirnya mereka dapat memahami ajaran Islam dengan baik.

Sumber : Sirah bulan-bulan Hijrah, Dr. Engku Ahmad Zaki

Tuesday, 15 May 2012

Hari-hari untukmu IBU


وَقَضَى رَبُّكَ أَلاَّ تَعْبُدُواْ إِلاَّ إِيَّاهُ وَبِالْوَالِدَيْنِ إِحْسَانًا إِمَّا يَبْلُغَنَّ عِندَكَ الْكِبَرَ أَحَدُهُمَا أَوْ كِلاَهُمَا فَلاَ تَقُل لَّهُمَآ أُفٍّ وَلاَ تَنْهَرْهُمَا وَقُل لَّهُمَا قَوْلاً كَرِيمًا(23) وَاخْفِضْ لَهُمَا جَنَاحَ الذُّلِّ مِنَ الرَّحْمَةِ وَقُل رَّبِّ ارْحَمْهُمَا كَمَا رَبَّيَانِي صَغِيرًا (24)
Maksudnya : 23. Dan Tuhanmu telah perintahkan, supaya engkau tidak menyembah melainkan kepadanya semata-mata, dan hendaklah engkau berbuat baik kepada ibu bapa. Jika salah seorang dari keduanya, atau kedua-duanya sekali, sampai kepada umur tua dalam jagaan dan peliharaanmu, maka janganlah engkau berkata kepada mereka (sebarang perkataan kasar) sekalipun perkataan "Ah", dan janganlah engkau menengking menyergah mereka, tetapi katakanlah kepada mereka perkataan yang mulia (yang bersopan santun).
24. Dan hendaklah Engkau merendah diri kepada keduanya kerana belas kasihan dan kasih sayangmu, dan doakanlah (untuk mereka, dengan berkata): "Wahai Tuhanku! Cucurilah rahmat kepada mereka berdua sebagaimana mereka telah mencurahkan kasih sayangnya memelihara dan mendidikku semasa kecil."
(Surah al-Isra’: Ayat 23-24)

Pengajaran yang dapat kita peroleh daripada dua ayat ini adalah :
1)      Jagalah ibu bapamu ketika usia mereka sudah lanjut.
2)      Jangan berkata kasar walaupun perkataan “Ah” lebih-lebih lagi perbuatan-perbuatan lain yang dianggap menyakiti hati mereka adalah tidak dibenarkan sama sekali.
3)      Ucapkanlah perkataan yang sopan dan indah kepada kedua orang tua.
4)      Sayangilah kedua-duanya.
5)      Mendoakan kesejahteraan ibu dan bapa di dunia dan akhirat.


Dari Abu Hurairah r.a, beliau berkata: “Seseorang pernah datang kepada Rasulullah s.a.w lalu bertanya: ‘Wahai Rasulullah s.a.w, siapakah orang yang paling berhak untuk aku pergauli dengan baik?’ Rasulullah menjawab: ‘Ibumu’ Orang tersebut bertanya: ‘Lalu siapa lagi?’ Rasulullah menjawab: ‘Ibumu’ Orang tersebut bertanya: ‘Lalu siapa lagi?’ Rasulullah menjawab: ‘Ibumu’ Orang tersebut bertanya: ‘Lalu siapa lagi?’ Rasulullah menjawab: ‘Bapamu.’”
(Imam Nawawi. Riyadhussalihin.)

Pengajaran yang boleh diambil daripada hadis ini adalah:
Rasulullah s.a.w mengutamakan kasih sayang kepada ibu adalah lebih berhak untuk di berikan. Ini kerana, sesungguhnya pengorbanan ibu sepanjang mengandung, melahir, dan mendidik anak-anaknya tidak dapat dinilai dengan harga yang ada di muka bumi ini.

Bersyukur ke hadhrat Allah s.w.t kerana telah mengurniakan kepada kita ibu yang rela berkorban apa sahaja. Semoga Allah s.w.t sahaja yang dapat membalas jasamu ibu. Hari-hari yang dilalui adalah hari ibu kerana galakan kepada berbakti kepada ibu khususnya serta bapa, tidak terhad kepada hari tertentu sahaja.

Berbaktilah kepada kedua orang tuamu selagi hayat mereka masih ada, tidak dilupakan juga, bakti terus disedekahkan buat mereka yang telah pergi meninggalkan kita untuk bertemu yang Maha Esa.

Waallahu a’lam. 



Saturday, 21 April 2012

SAKIT TAK HALANG HAFAL 30 JUZUK


alt

Masalah kesihatan yang dialaminya tidak langsung mematahkan semangat beliau untuk terus menjadikan amalan menghafal al-quran sebagai rutin harian beliau.

Pada  29 Mac yang lalu, Unit Pembangunan Akademik ( IPT )Baitulmal  dengan diketua oleh Penolong Pengurus Ustaz Ahmad Fadli bin Adam telah turun padang bagi mengadakan sesi Perujian Tasmi' di bawah Skim Galakan Hafaz Al-Quran Baitulmal bersama-sama  Ustaz Ehsan bin Mohd Hosni Al-Hafiz, seorang juri tasmi’ yang dilantik. Ianya bertujuan untuk memenuhi permintaan pemohon Skim Galakan ini iaitu Cik Siti Nadhira Binti Mohd Shafie agar diadakan sesi tersebut di rumahnya yang  terletak di Kampung Pandan, Kuala Lumpur.

Apa yang lebih membanggakan ialah ini bukanlah kali pertama beliau menerima Bantuan Hazafan Al-Quran ini. Walaupun pergerakannya terbatas, tetapi semangat juangnya tidak pernah luntur. Sebelum ini beliau sihat seperti remaja lain, tetapi sejenis penyakit enzema yang dihadapinya menyebabkan beliau sukar untuk bergerak seperti biasa.

Skim Galakan Hafazan Al-Quran adalah merupakan satu insentif dibawah Skim Bantuan yang ditawarkan oleh Baitulmal MAIWP. Insentif ini  diberikan kepada para penghuffaz yang berjaya menghafal surah-surah di dalam Al-Quran berdasarkan bilangan juzu’ yang ditetapkan.

Bantuan diberikan mengikut jumlah juzu’ yang berjaya dihafal seperti berikut:
5 juzu’  (Juzu’ 1 hingga Juzu’ 5)       : RM1,000
10 juzu’ (Juzu’ 1 hingga Juzu’ 10)    : RM2,000
20 juzu’ (Juzu’ 1hingga Juzu’ 20)     : RM4,000
30 juzu’ (Juzu’ 1hingga Juzu’ 30)     : RM6,000

Bantuan yang diberikan bertujuan untuk terus menggalakkan budaya  amalan menghafal  al-quran kepada masyarakat Islam Malaysia terutamanya di kalangan anak-anak muda . Ianya juga merupakan usaha berterusan MAIWP dalam melahirkan generasi pelapis pemimpin yang celik al-quran.

** Sumber :  http://www.maiwp.gov.my

Hukum Penubuhan Bank Susu

Keputusan:
Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-97 yang bersidang pada 15-17 Disember 2011 telah membincangkan mengenai Hukum Penubuhan Bank Susu. Muzakarah telah membuat keputusan seperti berikut:
Setelah mendengar taklimat dan penjelasan pakar serta meneliti keterangan, hujah-hujah dan pandangan yang dikemukakan, Muzakarah berpandangan bahawa menjaga keturunan adalah termasuk dalam lima perkara yang wajib dipelihara dalam syariat Islam. Oleh itu, apa-apa tindakan atau perbuatan yang boleh mendatangkan kemudaratan kepada nasab atau keturunan perlulah dielakkan.
Muzakarah juga berpandangan bahawa hukum penubuhan bank susu amat berkaitrapat dengan syarat-syarat pengharaman atas sebab susuan di mana bayi-bayi yang menyusu dengan seorang wanita atau lebih daripada seorang wanita akan menjadi adik beradik susuan dan perkahwinan antara mereka adalah haram apabila memenuhi syarat-syarat yang telah ditetapkan.
Pandangan ini adalah selaras dengan pandangan Jumhur Fuqaha’ bahawa seseorang bayi itu sah sebagai anak susuan samada melalui penyusuan secara langsung dari payudara atau penyusuan secara tidak langsung. Juga berdasarkan hadith riwayat Abu Daud:

عَنْ ابْنِ مَسْعُودٍ قَالَ لا رِضَاعَ إِلا مَا شَدَّ الْعَظْمَ وَأَنْبَتَ اللَّحْم
رواه أبو داود
Maksudnya:
Daripada Ibn Mas`ud berkata, tidak berlaku hukum penyusuan melainkan dengan apa yang menguatkan tulang dan menumbuhkan daging.
Sehubungan itu, memandangkan penubuhan bank susu boleh mengakibatkan percampuran nasab dan membawa umat Islam terjebak dalam keraguan dan perkara yang haram, dan keperluan penubuhannya juga tidak berada dalam keadaan darurat sehingga mengancam maslahah awam, Muzakarah bersetuju memutuskan bahawa penubuhan bank susu adalah tidak diharuskan.
Muzakarah juga memutuskan bahawa bagi memenuhi keperluan bayi pra-matang yang memerlukan rawatan, juga ibu yang mempunyai kekurangan susu atau mempunyai penyakit kronik/berjangkit dan tidak dapat menyusukan bayi, adalah harus bagi ibu-ibu menderma susu ibu secara sukarela kepada bayi-bayi yang memerlukan dan keluarga bayi serta perderma perlu mengenali antara satu sama lain.

Sumber : http://www.e-fatwa.gov.my

Adab-adab ketika membaca AL-QUR’AN

   

   1)      Dalam keadaan bersih dan berwuduk.
   2)      Menghadap kiblat.
   3)      Tidak tergopoh-gapah dalam bacaan.
   4)      Tidak meninggalkan bacaan al-qur’an 3 hari 3 malam.
   5)      Khusyuk di dalam bacaan.
   6)      Mengelokkan bacaan dengan bertajwid.
   7)      Merendahkan atau memperlahankan suara jika takut timbul riya’ atau rasa menunjuk-nunjuk di dalam diri.
   8)      Mentadabbur dan mempraktik isi kandungan al-qur’an.
   9)      Memikirkan keagungan Allah s.w.t melalui ayat-ayat suci al-qur’an.

**Rujukan : Abu Bakar Jabir al-Jaza’iri, Minhaj al-Muslim, Dar al-Salam : Mesir.

Saturday, 14 April 2012

Keengganan Memahami al-Qur’an : Kerugian Buat Orang Kafir



اَوَلَمْ يَكْفِهِمْ اَنَّآ اَنْزَلْنَا عَلَيْكَ الْكِتَابَ يُتْلى عَلَيْهِمْ اِنَّ فِي ذَالِكَ لَرَحْمَةً وَذِكْرَى لِقَوْمٍ يُؤْمِنُونَ

Maksudnya : (Patutkah mereka meminta mukjizat-mukjizat yang lain?) tidakkah cukup bagi mereka bahawa Kami telah menurunkan kepadamu Al-Quran yang dibacakan kepada mereka? Sesungguhnya Al-Quran Yang diturunkan itu mengandungi rahmat dan peringatan bagi orang-orang yang beriman. (Surah al-Ankabut : Ayat 51)

Sebab Turun Ayat (Asbabunnuzul)

Diriwayatkan dari Ibnu Abi Hatim dan Ad-Darami dalam musnadnya, dari Amr bin Dinar dan dari Yahya bin Ja’dah, telah berkata, sekelompok kaum muslimin membawa kitab-kitab yang mereka tulis, dari apa yang mereka dengar dari orang Yahudi. Rasulullah sallahu ‘alai wasallam memperingatkan, “Cukuplah kalian (tinggalkan) orang-orang yang sesat lagi tidak percaya pada apa yang dibawa para nabi mereka atau nabi bagi selain mereka.” Maka dari itu, turunlah ayat ini.

Seorang kafir atau orang yang tidak mensyukuri nikmat Allah s.w.t,hanya akan melihat cacat dan kekurangan, bahkan pada lingkungan yang sangat indah, sehingga merasa tidak bahagia dan tidak mencukupi setiap apa yang dimilikinya.

Oleh itu, Allah s.w.t menciptakan orang-orang seperti ini hanya menjumpai pelbagai peristiwa dan pemandangan yang tidak menyenangkan.

Ketika orang kafir membuat keputusan untuk berada di dalam kekufuran, mereka telah mengalami kerugia di dunia dan akhirat. Malah mereka tidak dapat memahami al-Qur’an, yang terkandung di dalam al-Qur’an itu pelbagai rahsia yang dijelaskan di dalam al-Qur’a itu sendiri.

Allah s.w.t menyatakan bahwasanya, Dia akan menutup hati dan pemahaman orang-orang yang mempunyai sifat TAKABBUR, iaitu orang yang tidak mahu berserah diri kepada Allah s.w.t.

Friday, 13 April 2012

Menjaga Pandangan - غض البصر -

قُل لِّلْمُؤْمُنِينَ يَغُضُّوا مِنْ أَبْصَارِهِمْ وَ يَحْفَظُوا فُرُوجَهُمْ ذَالِكَ أَزْكَى لَهُمْ إِنَّ اللَّهَ خَبِيرٌ بِمَا يَصْنَعُونَ

Maksudnya : Katakanlah (Wahai Muhammad) kepada orang-orang lelaki yang beriman supaya mereka menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka. yang demikian itu lebih suci bagi mereka; Sesungguhnya Allah amat mendalam pengetahuannya tentang apa yang mereka kerjakan. (Surah al-Nur : Ayat 30)

** Menurut Tafsir at-Tabari :

يَغُضُّوْا مِنْ أَبْصارِهِمْ adalah bermaksud “Menundukkan pandangan dari sesuatu yang tidak dibolehkan bagi mereka untuk melihat.”

وَ يَحْفَظُوْا فُرُوجَهُمْ adalah bermaksud “ Menutupi dan menjaga kemaluannya dengan pakaian, agar tidak dilihat orang lain.”

وَ قُل لِّلمُؤْمَنَاتِ يَغْضُضْنَ مِنْ أَبْصَارِهِنَّ وَ يَحْفَظْنَ فُرُوجَهُنَّ وَلاَ يُبْدِينَ زِينَتَهُنَّ إِلاَّ مَا ظَهَرَ مِنْهَا

Maksudnya : Dan Katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya. (Surah al-Nur : Ayat 31)

إِنَّ السَّمْعَ وَ الْبَصَرَ وَ الْفُؤَادَ كُلُّ أُولئِكَ كَانَ عَنْهُ مَسْؤُلاً

Maksudnya : Dan janganlah Engkau mengikut apa yang Engkau tidak mempunyai pengetahuan mengenainya; Sesungguhnya pendengaran dan penglihatan serta hati, semua anggota-anggota itu tetap akan ditanya tentang apa yang dilakukannya. (Surah al-Isra’ : Ayat 36)

Faedah-faedah daripada menjaga pandangan :

1. Mentaati perintah Allah s.w.t adalah kunci kebahagiaan di dunia dan akhirat

2. Mencegah dan menghalang diri dari perkara-perkara yang boleh membinasakan diri.

3. Dapat membersih dan mensucikan hati dari sifat-sifat mazmumah (tercela).

4. Membuka pintu keilmuan, Iman, serta mengenal Allah s.w.t (Ma’rifatullah) di dalam diri.

5. Dapat emnguat dan mencekalkan hati.

6. Dapat mensucikan hati dari nafsu syahwat.

7. Dapat mengisi hati dengan bertafakkur dan sentiasa mengingati Allah s.w.t.

8. Dapat menguat dan mencergaskan akal fikiran.

Rujukan :

- Syeikh Abdullah bin Jarullah bin Ibrahim Al-Jarullah. Mas’uliyah al-Mar’ah al-Muslimah. Arab Saudi. 1407H.