Monday 21 March 2011

Majlis Kesyukuran Dan Pertemuan ILMAM WP & BKAWM

17 Februari 2011 : Majlis kesyukuran dan doa selamat sempena kepulangan anak-anak Wilayah Persekutuan ke Mesir yang telah dianjurkan oleh Ikatan Lepasan Mahasiswa Mesir (ILMAM) Wilayah Persekutuan, di Masjid Muadz bin Jabal, Jalan Setiawangsa, Kuala Lumpur.

Kehadiran yang amat memberangsangkan dari kaum keluarga serta pelajar pada malam itu. Antara agenda majlis tersebut, bacaan yaasin serta doa selamat beramai-ramai dan jamuan makan malam yang ditaja khas oleh Masjid Muadz bin Jabal. Seterusnya perjumpaan diantara ILMAM WP dan BKAWM di dewan masjid itu.

Majlis Bacaan Yaasin

Majlis yang telah dipengerusikan oleh Saudara Mohd Dahlan bin Tukimin selaku setiausaha Ikatan Lepasan Mahasiswa Mesir (ILMAM) Wilayah Persekutuan, seterusnya ucapan alu-aluan Yang Dipertua Badan Kebajikan Anak Wilayah Persekutuan Mesir (BKAWM), Saudara Mohammad Adlly bin Mohammad Bokhari, ucapan mantan Yang Dipertua BKAWM yang Pertama, Ustaz Hasnol bin Abu Bakar, dan ucapan khas dari Imam Masjid Muadz bin Jabal, Ustaz Shahrizan bin Haji Daud.

Majlis diserikan lagi dengan penyampaian cenderahati dari BKAWM kepada ILMAM yang disampaikan oleh Yang Dipertua BKAWM kepada wakil ILMAM di atas kerjasama yang terjalin diantara ILMAM dan BKAWM. Seterusnya, kepada pemegang amanah akaun BKAWM di Malaysia dan kepada wakil Masjid Muadz bin Jabal sebagai tanda penghargaan dan terima kasih di atas tajaan dan sumbangan yang telah diberikan kepada BKAWM serta ILMAM Wilayah .

Majlis berakhir dengan sesi bergambar diantara ahli BKAWM dan ILMAM . Semoga ikatan ukhuwah antara anak-anak Wilayah ini berkekalan hingga di akhir kehidupan.

Ketika sesi pertemuan ILMAM WP dan BKAWM

Untuk melihat gambar-gambar program ini, sila layari laman Facebook Ilmam Wilayah Persekutuan.

Sumber berita : www.bkawm2u.blogspot.com


Wednesday 9 March 2011

Jemputan Ke Majlis Kesyukuran Dan Doa Selamat

Ilmam Wilayah Persekutuan menjemput semua ahli BKAWM dan ILMAM untuk ke Majlis Kesyukuran dan Doa Selamat yang akan diadakan sempena akan pulangnya kembali Anak-Anak Wilayah Persekutuan ke Mesir bagi menyambung pengajian tidak lama lagi.


Maklumat majlis adalah seperti berikut :

Tarikh : 17 Mac 2011 / 12 Rabiulakhir 1432 H (Khamis)
Masa : 700 pm - 8.30 pm
Tempat : Masjid Muadz Bin Jabal Kuala Lumpur (sila rujuk peta)

Aturcara program :
6.30 pm - 7.00 pm : Ketibaan Para Tetamu
7.00 pm - 9.00 pm :
- Solat Maghrib
- Bacaan Yassin & Doa Selamat
- Solat Isyak
- Jamuan Makan Malam (Tajaan Masjid Muadz Bin Jabal)

* Dijemput kepada semua termasuk ibu bapa, adik-beradik, saudara mara, rakan-rakan pelajar Mesir / bekas pelajar Mesir untuk hadir bagi memeriahkan lagi majlis.

* Jika anda dapat menghadirkan diri pada majlis tersebut, diharap dapat memberikan nama penuh kepada wakil Ilmam Wilayah Persekutuan di laman Facebook Ilmam Wilayah (ilmam_wilayah@yahoo.com)

Tuesday 8 March 2011

Program Maulidul Rasul Bersama Kominiti Orang Asli Mendapat Sambutan

26 & 27 Februari 2011 : Persekutuan Seruan Islam (JAM’IYAH) Selangor dan Wilayah Persekutuan dengan kerjasama JHEO, JAIS, JAKIM dan Kementerian Kesihatan Hulu Yam Baru Selangor telah mengadakan Program Maulidul Rasul 1432H bersama Komuniti Orang Asli, Kampung Hulu Tamu, Batang Kali, Selangor.


Rombongan yang disertai oleh sularelawan dari JAIS, JAKIM, ILMAM, BKAWM dan persendirian bertolak pada jam 12.00 tengah hari dengan menaiki bas dan beberapa buah kereta dari bangunan JAM’IYAH yang terletak di Jalan Ipoh, Kuala Lumpur. Rombongan kemudiannya selamat tiba di Kem Rimba Tamu seawal waktu solat zohor.

Selesai menunaikan solat zohor dan menjamu selera, Majlis Perasmian Anak
Angkat telah disempurnakan oleh Tuan Haji Zakariah bin Isa merangkap Yang Dipertua JAM’IYAH dan para peserta dibahagikan kepada keluarga-keluarga angkat masing-masing. Pada sebelah petangnya pula, seusai menunaikan solat asar, satu perlawanan bola sepak diadakan antara Pemuda JAM’IYAH menentang Belia Orang Asli.

Program bagi sesi malam bermula seawal jam 9.00 malam dengan Forum Bicara Maulidur Rasul yang disampaikan oleh Drs. Hj. R.S Sofyan beserta Ust. Razlan Md. Nor. Dan diteruskan dengan pertandingan tilawah al-quran, azan, dan persembahan berzanji wakil dari wanita JAM’IYAH.


Pada hari kedua bermula jam 8 pagi, program diserikan dengan kemeriahan sukaneka kanak-kanak. Pelbagai acara dipertandingkan. Antaranya ialah acara tiup belon, bola ping-pong dalam sudu, bawa belon dan banyak lagi. Warga orang asli juga berpeluang membuat pemeriksaan kesihatan di bawah seliaan Klinik Kesihatan Hulu Yam Baru.

Program ini berakhir pada waktu tengah hari dengan barisan ucapan aluan penghargaan oleh Tok Batin Alang selaku Tok Batin Kampung Hulu Tamu dan juga ucapan dari wakil JHEO. Perasmian penutup kemudiannya disempurnakan oleh Tuan Haji Zakariah bin Isa. Semoga segala objektif yang digariskan oleh pihak penganjur tercapai dan sentiasa diredhai oleh Allah Taala.

Untuk melihat gambar-gambar program ini, sila layari laman Facebook Ilmam Wilayah Persekutuan.

Monday 7 March 2011

Tiket pulang Ke Mesir Ditanggung MAIWP

22 Februari 2011 : MAIWP akan menanggung kos penghantaran pulang pelajar-pelajar Wilayah Persekutuan ke Mesir yang dibawa pulang ekoran krisis di sana baru-baru ini.

Perkara tersebut telah diumumkan oleh YB Mejar Jeneral Dato’ Seri Jamil Khir bin Haji Baharom (B), Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) yang juga Pengerusi MAIWP di Majlis Silaturrahim YB Menteri di JPM Bersama Pelajar-Pelajar Wilayah Persekutuan di Universiti-Univeristi Mesir yang diadakan di Masjid Wilayah Persekutuan, Jalan Duta.

Menurut beliau, semua kerajaan negeri kecuali Kedah dan Kelantan melalui Mesyuarat Menteri Besar dan Ketua Menteri ke-111 yang bersidang pada sebelah pagi telah bersetuju untuk menanggung kos penghantaran pulang pelajar Malaysia ke Mesir. Mesyuarat berkenaan dipengerusikan oleh YAB Tan Sri Muhyiddin Yassin, Timbalan Perdana Menteri Malaysia.

Oleh itu, beliau selaku Pengerusi MAIWP mengumumkan kos penghantaran pulang pelajar-pelajar Wilayah Persekutuan akan ditanggung oleh MAIWP menggunakan dana Baitulmal . Selain tambang, MAIWP akan turut memberikan wang saku sebanyak RM500 kepada kira-kira 400 orang pelajar. Kata beliau lagi, bagi pelajar-pelajar yang telah membeli tiket menggunakan perbelanjaan sendiri boleh menuntut kembali wang dengan MAIWP.

Menjawab beberapa persoalan ibubapa dan pelajar mengenai tarikh kepulangan ke Mesir, YB Dato’ Seri Jamil Khir menyatakan perkara tersebut perlu menunggu pengumuman rasmi daripada Kementerian Pengajian Tinggi dan Majlis Keselamatan Negara.

Borang permohonan bagi bantuan tiket dan wang saku tersebut boleh dimuat turun melalui laman web MAIWP mulai 24 Februari 2011.

Terbitan MAIWP : http://www.maiwp.gov.my