Tuesday 8 March 2011

Program Maulidul Rasul Bersama Kominiti Orang Asli Mendapat Sambutan

26 & 27 Februari 2011 : Persekutuan Seruan Islam (JAM’IYAH) Selangor dan Wilayah Persekutuan dengan kerjasama JHEO, JAIS, JAKIM dan Kementerian Kesihatan Hulu Yam Baru Selangor telah mengadakan Program Maulidul Rasul 1432H bersama Komuniti Orang Asli, Kampung Hulu Tamu, Batang Kali, Selangor.


Rombongan yang disertai oleh sularelawan dari JAIS, JAKIM, ILMAM, BKAWM dan persendirian bertolak pada jam 12.00 tengah hari dengan menaiki bas dan beberapa buah kereta dari bangunan JAM’IYAH yang terletak di Jalan Ipoh, Kuala Lumpur. Rombongan kemudiannya selamat tiba di Kem Rimba Tamu seawal waktu solat zohor.

Selesai menunaikan solat zohor dan menjamu selera, Majlis Perasmian Anak
Angkat telah disempurnakan oleh Tuan Haji Zakariah bin Isa merangkap Yang Dipertua JAM’IYAH dan para peserta dibahagikan kepada keluarga-keluarga angkat masing-masing. Pada sebelah petangnya pula, seusai menunaikan solat asar, satu perlawanan bola sepak diadakan antara Pemuda JAM’IYAH menentang Belia Orang Asli.

Program bagi sesi malam bermula seawal jam 9.00 malam dengan Forum Bicara Maulidur Rasul yang disampaikan oleh Drs. Hj. R.S Sofyan beserta Ust. Razlan Md. Nor. Dan diteruskan dengan pertandingan tilawah al-quran, azan, dan persembahan berzanji wakil dari wanita JAM’IYAH.


Pada hari kedua bermula jam 8 pagi, program diserikan dengan kemeriahan sukaneka kanak-kanak. Pelbagai acara dipertandingkan. Antaranya ialah acara tiup belon, bola ping-pong dalam sudu, bawa belon dan banyak lagi. Warga orang asli juga berpeluang membuat pemeriksaan kesihatan di bawah seliaan Klinik Kesihatan Hulu Yam Baru.

Program ini berakhir pada waktu tengah hari dengan barisan ucapan aluan penghargaan oleh Tok Batin Alang selaku Tok Batin Kampung Hulu Tamu dan juga ucapan dari wakil JHEO. Perasmian penutup kemudiannya disempurnakan oleh Tuan Haji Zakariah bin Isa. Semoga segala objektif yang digariskan oleh pihak penganjur tercapai dan sentiasa diredhai oleh Allah Taala.

Untuk melihat gambar-gambar program ini, sila layari laman Facebook Ilmam Wilayah Persekutuan.

No comments:

Post a Comment