Monday 7 March 2011

Tiket pulang Ke Mesir Ditanggung MAIWP

22 Februari 2011 : MAIWP akan menanggung kos penghantaran pulang pelajar-pelajar Wilayah Persekutuan ke Mesir yang dibawa pulang ekoran krisis di sana baru-baru ini.

Perkara tersebut telah diumumkan oleh YB Mejar Jeneral Dato’ Seri Jamil Khir bin Haji Baharom (B), Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) yang juga Pengerusi MAIWP di Majlis Silaturrahim YB Menteri di JPM Bersama Pelajar-Pelajar Wilayah Persekutuan di Universiti-Univeristi Mesir yang diadakan di Masjid Wilayah Persekutuan, Jalan Duta.

Menurut beliau, semua kerajaan negeri kecuali Kedah dan Kelantan melalui Mesyuarat Menteri Besar dan Ketua Menteri ke-111 yang bersidang pada sebelah pagi telah bersetuju untuk menanggung kos penghantaran pulang pelajar Malaysia ke Mesir. Mesyuarat berkenaan dipengerusikan oleh YAB Tan Sri Muhyiddin Yassin, Timbalan Perdana Menteri Malaysia.

Oleh itu, beliau selaku Pengerusi MAIWP mengumumkan kos penghantaran pulang pelajar-pelajar Wilayah Persekutuan akan ditanggung oleh MAIWP menggunakan dana Baitulmal . Selain tambang, MAIWP akan turut memberikan wang saku sebanyak RM500 kepada kira-kira 400 orang pelajar. Kata beliau lagi, bagi pelajar-pelajar yang telah membeli tiket menggunakan perbelanjaan sendiri boleh menuntut kembali wang dengan MAIWP.

Menjawab beberapa persoalan ibubapa dan pelajar mengenai tarikh kepulangan ke Mesir, YB Dato’ Seri Jamil Khir menyatakan perkara tersebut perlu menunggu pengumuman rasmi daripada Kementerian Pengajian Tinggi dan Majlis Keselamatan Negara.

Borang permohonan bagi bantuan tiket dan wang saku tersebut boleh dimuat turun melalui laman web MAIWP mulai 24 Februari 2011.

Terbitan MAIWP : http://www.maiwp.gov.my

No comments:

Post a Comment