Thursday 3 November 2011

Falsafah Ibadah Haji

IHRAM

Berihram dengan niat menunaikan ibadat haji dan meninggalkan larangan-larangan yang berkaitan dengannya setelah memakai pakaian ihram.Ia wajib dilakukan dengan penuh khusyuk dan tawaduk serta menyerah diri kepada Allah s.w.t seperti mayat yang telah dikapankan dengan helaian kain putih yang bersih.

Menyedari akan hakikat tersebut, manusia sebenarnya sama taraf di sisi Allah s.w.t dan nilai yang diambil kiraoleh Allah s.w.t bukanlah hartanya yang bertimbun atau perhiasan lahirnya yang sempurna, akan tetapi kesucian hati dan taqwa yang bersemayam kukuh di sudut jiwa.

WUQUF DI A'RAFAH

Satu perhimpunan besar manusia dari seluruh pelosok dunia ke padah yang satu di bawah teriknya mentari, tiada daya dan upaya melainkan mereka semuanya mengharapkan keredhaan Ilahi.

Perhimpunan jutaan ummat ini diumpamakan seperti perhimpunan besar yang bakal dihadapi oleh setiap manusia bagi dihisab segala amalan diri di Padang Mahsyar kelak.


Sebahagian ulama’ berpendapat, perkataan “ ’Arafah “ adalah hasil hasil pemahaman Nabi Ibrahim ‘alaihissalam yang telah memahami dan menghayati perintah Allah s.w.t yang tersirat di dalam mimpinya untuk menyembelih puteranya Nabi Ismail ‘alaihissalam.

Oleh yang demikian, hari wuquf di ‘Arafah juga dikenali sebagai hari “ Tarwiyah “ yang bermaksud hari renungan. Ini kerana Nabi Ibrahim ‘alaihissalam sentiasa merenung dan mengimbas kembali mimpinya yang berturut-turut dan akhirnya Baginda faham ( ‘Arafa ).

BERMALAM DI MUZDALIFAH

Muzdalifah adalah tempat persinggahan Rasulullah sallahu’alaihi wasallam dalm perjalanan Baginda dari ‘Arafah ke Mina. Allah s.w.t berfirman di dalam Surah Al-Baqarah ayat 198 yang bermaksud :

"Tidaklah menjadi salah, kamu mencari limpah kurnia dari Tuhan kamu (dengan meneruskan perniagaan ketika mengerjakan Haji). kemudian apabila kamu bertolak turun dari padang Arafah (menuju ke Muzdalifah) maka sebutlah nama Allah (dengan doa,"talbiah" dan tasbih) di tempat Masy'ar Al-Haraam (di Muzdalifah), dan ingatlah kepada Allah Dengan menyebutnya sebagaimana ia telah memberikan petunjuk hidayah kepadamu; dan sesungguhnya kamu sebelum itu adalah dari golongan orang-orang yang salah jalan ibadatnya."

‘Arafah adalah tempat di mana manusia menimba pengalaman dan ilmu yang melibatkan hubungan sesama manusia sementara Muzdalifah pula adalah tempat untuk menyematkan dan memantapkan segala pengetahuan dan pengalaman di ‘Arafah ke dalam lubuk jiwa dan hati. Diwaktu inilah sesorang hamba Allah s.w.t akan bermunajat kepada Allah s.w.t dan yang paling sesuai dan afdhal ialah sesudah tengah malam.

BERMALAM DI MINA

Bermalam di Mina pada Hari Raya Haji dan hari-hari Tasyrik ( 11, 12 & 13 Zulhijjah ) bertujuan untuk melahirkan rasa syukur ke atas nikmat-nikmat yang telah Allah s.w.t anugerahkan. Bagi menzahirkan rasa kesyukuran tersebut, disunatkan menyembelih binatang korban dan mengikuti sunnah-sunnah lain yang telah dianjurkan oleh Rasulullah sallahu’alaihi wasaalam.
Kewajipan utama semasa Jemaah haji berada di Mina ialah melontar di tiga buah Jamrah. Lontaran pada ketiga-tiga Jamrah itu adalah simbolik terhadap perjuangan Nabi Ibrahim ‘alaihissalam yang diganggu Iblis semasa hendak menyembelih puteranya Nabi Ismail ‘alaihissalam. Lalu Nabi Ibrahim ‘alaihissalam membaling batu berulang-ulang kali kea rah Iblis.

Kemudian Iblis mengganggu Nabi Ismail ‘alaihissalam agar mengingkari perintah Allah s.w.t tetapi berjaya ditentang. Akhirnya Iblis kepada Siti Hajar untuk menghasutnya agar memarahi perbuatan suaminya Nabi Ibrahim ‘alaihissalam tetapi tidak juga berjaya.

Maka apabila tiba saat penyembelihan itu, Allah s.w.t telah menukarkan Nabi Ismail ‘alaihissalam kepada seekor kibas. Begitulah pengobanan yang telah dilakukan oleh Nabi Allah Ibarahim dan Nabi ismail ‘alaihimassalam di dalam mentaati perintah Allah s.w.t.

TAWAF

Pada hakikatnya, para malaikat melakukan tawaf di langit dengan mengelilingi sebuah binaan yang dinamakan sebagai Baitul Makmur. Terdapat juga para malaikat di bumi yang diperintahkan oleh Allah s.w.t supaya mendirikan sebuah binaan yang sama fungsinya dan sejajar dengan Baitul Makmur. Binaan tersebut dikatakan kawasan Baitul Haram di Kota Makkah yang ada pada hari ini.


Menurut sejarah, sejurus Nabi Adam ‘alaihissalam dan isternya Siti hajar diturunkan ke bumi, baginda telah menjelajah sampai ke Kota Makkah dan dengan panduan Malaikat Jibril, Nabi Adam ‘alaihissalam dan isterinya diperintahkan membangunkan Baitullah di tempat para Malaikat melakukan tawaf dan lantas mendirikan binaan menurut perhitungan Malaikat. Maka bertawaflah Nabi Adam ‘alaihissalam di sekitarnya.

Apabila diperintahkan Nabi Ibrahim ‘alaihissalam membangunkan semula binaan yang pernah dibangunkan oleh Nabi Adam ‘alaihissalam diperintahkan pula bertawaf mengelilinginya.

SA'IE

Sa’ie antara Safa dan Marwah adalah imbasan kembali kepada peristiwa Siti Hajar yang sedang kehausan dan mencari air untuk anaknya Nabi Ismail ‘alaihissalam yang masih kecil ketika itu.


TAHALUL

Tahalul bemaksud mengakhiri ihram dengan menggunting atau bercukur seluruh rambut. Bertahalul juga boleh diertikan sebagai pembebasan diri dari segala pantang larang ihram.

Apabila segala rukun dan wajib haji telah disempurnakan dengan sebaik-baiknya sepanjang menunaikan ibadat haji, maka hendaklah setiap Jemaah haji bermohon agar Allah s.w.t menerima segala amalan hajinya.