Wednesday 22 February 2012

KEPIMPINAN @ AL-QIYADAH DALAM ISLAM

Untuk menyusun dan mengatur hubungan sosial antara manusia, maka sangat diperlukan seseorang pemimpin yang benar-benar memahami makna kepimpinan bagi memikul tanggungjawab sebagai pebimbing dan juga pemudah cara kepada tanggungjawab tersebut. Hal yang demikian supaya, pemimpin dapat merealisasikan sesuatu yang diamanahkan itu ke arah sasaran yang dihasratkan.

Hakikat pengutusan para Rasul kepada umat manusia adalah untuk memimpin seluruh umat serta membebaskan mereka dari kegelapan kepada cahaya. Dengan pengutusan Rasul oleh Allah s.w.t kepada sesuatu umat, dapat membantu seseorang itu untuk mengkoreksi akidahnya serta mensejahterakan lagi kehidupannya. Firman Allah s.w.t dalam Surah an-Nahl Ayat ke-36 yang bermaksud :

" Dan sesungguhnya Kami telah mengutus dalam kalangan tiap-tiap umat seorang Rasul (dengan memerintahkannya menyeru mereka): "Hendaklah kamu menyembah Allah dan jauhilah taghut".

Makna hakiki kepimpinan dalam Islam adalah merealisasikan khilafah di muka bumi, demi mewujudkan kebaikan dan proses islah sepertimana yang disebutkan oleh Allah s.w.t di dalam al-Qur’an :

Mafhumnya : " Maka Demi Tuhanmu (Wahai Muhammad)! mereka tidak disifatkan beriman sehingga mereka menjadikan Engkau hakim dalam mana-mana perselisihan yang timbul di antara mereka, kemudian mereka pula tidak merasa di hati mereka sesuatu keberatan dari apa yang telah Engkau hukumkan, dan mereka menerima keputusan itu dengan sepenuhnya. " ( Surah an-Nisa’ : Ayat 65 )

Nabi sallahu’alaihi wasallam menganjurkan al-Qiyadah walau dalam perkumpulan yang berjumlah sedikit atau sasarannya sederhana di dalam hadis Baginda :

إِذَا خَرَجَ ثَلاَثَةٌ فِي سَفَرٍ فَلْيُؤَمِّرُوا أَحَدَهُمْ

Maknanya : Jika tiga orang keluar dalam suatu perjalanan, maka hendaklah mereka melantik salah seorang di antaranya sebagai pemimpin. ( Hadis Riwayat Abu Daud )

Syaikhul Islam Ibnu Taimiyah menjelaskan di dalam kitab beliau ( Siyasah Syar’iyyah ) :

“ Wajib diketahui bahawa mentadbir perkara manusia termasuk kewajipan agama teragung, bahkan agama tidak bernilai tanpanya. Sesungguhnya kemaslahatan umat manusia hanya akan dicapai dengan sempurna melalui perkumpulan ( jama’ah ), kerana satu sama lain saling memerlukan dan ketika berkumpul, mereka harus memiliki pemimpin. “

Di antara jenis kepimpinan ( al-qiyadah ) yang paling khusus adalah kepimpinan bersifat mendidik ( al-qiyadah at-tarbawiyyah ). Ini kerana kejayaan mendidik generasi, membangun dan melakukan program kebangkitan umat berkait rapat dengan penyediaan al-qiyadah at-tarbawiyyah yang benar. Krisis yang mengepung umat kita saat ini tiada lain kerana ketiadaan pendidik ( murabbi ) yang diteladani dan pemimpin yang berjiwa mendidik ( al-qaid at-tarbawiy ).

Kepimpinan ( al-qiyadah ) yang berjaya adalah kepimpinan yang mampu memberikan pengaruh pada perilaku individu ( suatu jema’ah ) yang bertujuan agar kepimpinan itu mampu menunaikan tugasnya, mewujudkan sasaran kumpulam ( jema’ah ), melakukan pengembangan dan pengukuhan kualiti kumpulan ( jema’ah ), serta menjaga kekuatan kesatuannya.

Rujukan : al-Qiyadah al-Muatharah oleh Jamal Hasan Sa’ad Madiy.

No comments:

Post a Comment