Thursday 26 January 2012

PERANAN SIRAH NABI MUHAMMAD S.A.W DALAM MEMAHAMI ISLAM YANG SEBENAR.

Nabi Muhammad s.a.w penghulu sekalian nabi serta memiliki pelbagai gelaran yang indah seperti al-Amin, Ahmad, dan sebagainya, merupakan qudwah atau contoh segenap lapisan ummah. Bermula dari kelahiran sehingga ke penghujung hayat Baginda s.a.w, Allah s.w.t telah aturkan setiap detik peristiwa yang dilalui Baginda s.a.w dengan penuh hikmah.

Sejarah Nabi Muhammad s.a.w teramat sarat dengan pelbagai teladan yang boleh dicontohi. Kekasih Allah s.w.t ini mempunyai keperibadian yang sangat luhur sehingga menjadi insan yang amat dipercayai di kalangan keluarga dan sahabat. Sikap lemah-lembut bersama para sahabat, kepimpinan di dalam pentadbiran, bijak dan cekap di dalam aturan strategi peperangan, dapat dirasai melalui sorotan kisah-kisah Baginda s.a.w melalui nukilan ulama’-ulama’ terdahulu.

Lantaran itu, ulama’-ulama’ terulung seperti Muhammad Sa’id Ramadhan al-Buti, Ibnu Qayyim al-Jauziy, Abu Muhammad Abdul Malek, Muhammad bin Ishaq serta ramai lagi ulama’ termasyhur, mengambil inisiatif membukukan perjalanan hidup insan terulung ini.

Tujuan utama pembukuan riwayat hidup Nabi Muhammad s.a.w adalah supaya setiap Muslim dapat memahami, menganggap dan menggambarkan bahawa hakikat zahir dan batin Islam, semuanya teradun di dalam penghidupan Rasulullah s.a.w itu sendiri.

Muhammad Sa’id Ramadhan al-Buti di dalam kitab karangan beliau, Fiqh Sirah, ada menyebutkan mengenai tujuan lain pembukuan riwayat hidup Nabi Muhammad s.a.w

adalah :

1. Memahami peribadi Nabi Muhammad s.a.w menerusi penghidupan dan suasana hidup baginda sendiri. Ini adalah untuk menentukan Baginda s.a.w itu bukan sebagai manusia pintar tetapi sebenarnya adalah pesuruh Allah s.w.t yang menerima wahyu dan taufiq dariNya.

2. Supaya manusia seluruhnya dapat meniru dan mengikut suatu contoh yang unggul dalam segenap lapangan hidup yang harmoni serta dijadikan sebagai dasar hidupnya.

3. Supaya rentetan hidup perjalanan Baginda s.a.w dapat membantu sekalian manusia memahami isi kandungan al-Quran dek kerana kebanyakan ayat suci al-Quran yang dihurai dan ditafsirkan melalui kejadian dan peristiwa yang dialami sendiri oleh Baginda s.a.w.

4. Agar setiap Muslim dapat mempelajari pengetahuan Islam yang sebenar sama ada dari segi ‘aqidah, hukum-hakam di dalam Islam atau tatasusilanya. Ini adalah kerana penghidupan Nabi Muhammad s.a.w adalah satu gambaran dengan dimensinya yang jelas bagi prinsip-prinsip dan hukum-hukum Islam.

5. Membolehkan para pendakwah mencontohi Baginda s.a.w sebagai pendidik, penasihat, dan guru yang utama, yang tidak pernah membuang masa begitu sahaja malah sentiasa mencari jalan serta sistem-sistem pengajaran yang terbaik semasa Baginda s.a.w berdakwah.

Semoga tujuan atau objektif yang digariskan oleh ilmuwan Islam terdahulu melalui penghadaman riwayat hidup kekasih Allah s.w.t ini, dapat melahirkan Muslim sejati yang betul-betul memahami hakikat Islam itu sendiri seterusnya diterjemahkan di dalam kehidupan seharian.

Tidak syak lagi bahawasanya dengan mempelajari sejarah hidup Nabi Muhammad s.a.w adalah langkahan kepada memahami semua sudut kemanusiaan.

Sumber : Doktor Muhammad Sa’id Ramadhan al-Buti, Fiqh Sirah, Dar al-Salam, Mesir.

No comments:

Post a Comment