Monday 1 August 2011

Disebalik Ramadhan

DEFINISI RAMADHAN

Firman Allah s.w.t yang bermaksud :
"Hai orang-orang yang beriman, diwajibkan atas kalian berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang kalian agar kalian bertakwa."
( Surah Al-Baqarah : Ayat 183 )

Dari Abu Hurairah r.a berkata :
Rasulullah s.a.w bersabda : ‘ Barangsiapa yang berpuasa Ramadhan atas dasar iman dan mengharap redha Allah, maka dosa-dosanya yang telah lalu akan diampuni. Barangsiapa yang melaksanakan Qiam Ramadhan atas dasar iman dan mengharap redha Allah, maka dosa-dosanya yang telah lalu akan diampuni. Barangsiapa yang melakukan Qiyam Lailatulqadar atas dasar iman dan mengharap redha Allah, maka dosa-dosanya yang telah lalu akan diampuni.’
( Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim )

Dari Anas r.a berkata :
“Rasulullah s.a.w bersabda : Bersahurlah kalian, sebab dalam sahur itu terdapat barakah.”
( Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim )



ADAB-ADAB BERPUASA

Digalakkan untuk menjaga :
  • MATA daripada memandang kepada perkara-perkara yang dibenci.
  • LIDAH daripada menuturkan perkara-perkara yang tidak benar.
  • TELINGA daripada mendengar perkara yang diharamkan oleh Allah s.w.t
  • Menyekat nikmat kebebasan anggota-anggota lain seperti perut dan kemaluan.

Seperti sabda Nabi s.a.w yang bermaksud :
“Lima perkara yang boleh membatalkan puasa ( secara maknawi ) : menipu, mengumpat, menghasut, memandang perkara yang mendatangkan syahwat, dan mendustakan sumpah.”


FIQH PUASA

Soalan 1 :
Apakah Hukum memasukkan jari ke dalam hidung untuk membersihkannya dengan hanya nisbah untuk orang berpuasa?
Jawapan :
Membersihkan hidung, mulut, dan telinga yang secara zahir, tidak membatalkan puasa dengan meletakkan tangan ke dalamnya.

Soalan 2 :
Adakah boleh berbuka puasa dalam bulan Ramadhan bagi orang tua (uzur), wanita hamil, dan wanita yang menyusukan anak? Apakah wajib bagi mereka ganti puasa (qada’) atau bayar denda (fidyah)?
Jawapan :
Orang tua yang terlalu uzur dibolehkan berbuka puasa dan wajib membayar denda ( fidyah ) sebanyak mana hari yang ditinggalkan, seperti firman Allah s.w.t yang bermaksud :
“Orang-orang yang berat menjalankannya ( jika mereka tidak berpuasa ), wajib baginya membayar fidyah, ( iaitu ) memberi makan seorang miskin.”
( Surah Al-Baqarah : Ayat 184 )

Wanita hamil dan wanita yang menyusukan anak juga dibolehkan untuk berbuka puasa dan wajib ganti puasa ( qada’ ) sebanyak mana hari yang ditinggalkan. Pendapat Mazhab Syafie menambah; wajib juga membayar denda ( fidyah ). Sekiranya takut berlaku kemudharatan atau kesusahan ke atas diri, maka dibolehkan untuk tidak membayar fidyah.

Seperti sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud :
Dari Anas bin Malik Al-Ka’bi, sesungguhnya Rasulullah s.a.w bersabda : “Sesungguhnya Allah s.w.t meletakkan jauh orang yang musafir daripada puasa dan sebahagian solat, dan juga meletakkan jauh wanita hamil dan wanita yang menyusukan anak daripada puasa.”
( Hadis Riwayat Ahmad dan Sunan Arba’ah )

Soalan 3 :
Adakah sah puasa orang yang dalam keadaan junub?
Jawapan :
Sah puasa akan tetapi makruh; kerana tidak disyaratkan wajib suci untuk berpuasa jika dibandingkan dengan solat. Haram menunaikan solat fardhu dalam keadaan junub; maka diwajibkan mandi wajib untuk menunaikan solat pada waktunya.

Soalan 4 :
Adakah dibolehkan wanita atau perempuan pergi ke masjid untuk menunaikan solat Tarawih?
Jawapan :
Solat Tarawih disunatkan kepada lelaki dan perempuan. Sah ditunaikan sama ada secara berjemaah mahupun bersendirian. Akan tetapi, perempuan lebih elok atau afdhal mengerjakan solat di rumah melainkan jika terdapat ’Maslahah Syar’iyyah’ seperti mendengar ceramah atau mengikuti kelas-kelas pengajian.

Sabda Nabi s.a.w yang bermaksud :
Daripada Ummu Salamah : sesungguhnya Rasulullah s.a.w bersabda : “Sebaik-baik tempat sujud wanita itu adalah di dalam rumah-rumah mereka.”
( Hadis Riwayat Imam Ahmad )

Nabi s.a.w juga bersabda yang bermaksud :
Dari Umar r.a, dari Nabi s.a.w bersabda : “Tidak dihalang wanita itu untuk keluar pergi ke masjid, dan rumah-rumah mereka juga lebih baik untuk mereka.”
( Hadis Riwayat Ahmad dan Abu Daud )

Soalan 5 :
Adakah dibolehkan merawat gigi geraham semasa puasa disebabkan dharurat atau kesakitan?
Jawapan :
Tiada halangan daripada merawat gigi geraham yang sakit disebabkan dharurat dengan syarat ubat atau darah tidak termasuk ke dalam rongga halkum.




Rujukan :
1. Riyadussolihin, Imam Nawawi
2. Bidayatul Hidayah, Imam Al-Ghazali
3. Fatawa Mu’asoroh, Ustaz Doktor Wahbah Az-Zuhaili


No comments:

Post a Comment