Tuesday 4 September 2012

Bilakah Akan Berhentinya Penyiksaan Musuh-Musuh Allah Terhadap Mukminin?


Sesungguhnya musuh-musuh Allah itu memerangi dakwah Allah di dalam diri para pendokongnya dengan berbagai-bagai usaha, helah dan penyeksaan yang berterusan dan berulang untuk memalingkan mereka| dari dakwah mereka. Kadang-kadang dengan pujuk rayu, umpan-umpan palsu atau janji-janji manis yang penuh dengan muslihat. Kadang-kala pula berupa ancaman, gertakan, penyeksaan dan tindakan yang kejam. Mereka tidak berhenti berbuat demikian hinggalah para pendokong dakwah meninggalkan dakwah mereka sehingga orang-orang mukmin meninggalkan dakwah mereka, mengikut cara hidup mereka dan menyokong kebatilan mereka. Benarlah Allah s.w.t Yang Maha Agung apabila berfirman:
"Mereka tidak henti-henti memerangi kamu sampai mereka (dapat) mengembalikan kamu dari agamamu (kepada kekafiran), seandainya mereka sanggup". Al-Baqarah: 217
Firman Allah lagi:
"Jika mereka menangkap kamu, nescaya mereka bertindak, sebagai musuh bagimu dan melepaskan tangan dan lidah mereka kepadamu dengan menyakitimu, dan mereka ingin supaya kamu (kembali) kafir".
Al-Mumtahinah: 2
"Orang-orang Yahudi dan Nasrani tidak akan redha kepadamu hingga kamu mengikut agama mereka"
Al-Baqarah: 120
Sesungguhnya penyeksaan yang dimulakan oleh musuh-musuh Allah kerana akidahnya tidak akan berhenti selagi para penganut akidah itu tidak mahu meninggalkan akidah mereka atau sekurang-kurangnya goyah dengan pegangan akidah dan tidak melakukan kegiatan dakwah mereka. Atau tidak melakukan gerakan akidah dan dakwah mereka. Sesungguhnya ini bukanlah merupakan permusuhan peribadi atau tujuan duniawi kerana mereka telah menawarkan harta dan kuasa kepada Rasulullah s.a.w. lalu baginda menolaknya dengan penuh kemuliaan orang-orang yang beriman, kekuatan azam, berpegang teguh dengan akidah dan bekerja untuknya walaupun sikap yang tegas itu membawa kepada kebinasaannya dan Rasulullah s.a.w. telah bersabda dengan sabda yang tegas dan kekal:-
"Demi Allah sekiranya mereka meletakkan matahari di tangan kananku dan bulan di tangan kiriku supaya aku meninggalkan urusan ini, nescaya aku tidak akan meninggalkannya hinggalah Allah memberi kemenangan kerananya ataupun aku binasa kerananya ".
Para pendokong dakwah dan penganut akidah Islam, tidak akan meninggalkan akidah dan dakwah mereka. Mereka tidak akan berhenti dari melaksanakan tugas-tugas harakah dan kegiatan dakwah mereka dan tidak akan memberhentikan jihad dan perjuangan mereka lantaran rintangan, gangguan dan penyiksaan yang menimpa mereka. Kalau tidak, lebih baik mereka awal-awal lagi tidak tampil ke hadapan untuk memikul amanah ini dan tidak bangun melaksanakan segala tuntutannya.

Sumber: Tariq ad-Dakwah
 

No comments:

Post a Comment