Tuesday 4 September 2012

Bilakah Akan Berhentinya Penyiksaan Musuh-Musuh Allah Terhadap Mukminin?


Sesungguhnya musuh-musuh Allah itu memerangi dakwah Allah di dalam diri para pendokongnya dengan berbagai-bagai usaha, helah dan penyeksaan yang berterusan dan berulang untuk memalingkan mereka| dari dakwah mereka. Kadang-kadang dengan pujuk rayu, umpan-umpan palsu atau janji-janji manis yang penuh dengan muslihat. Kadang-kala pula berupa ancaman, gertakan, penyeksaan dan tindakan yang kejam. Mereka tidak berhenti berbuat demikian hinggalah para pendokong dakwah meninggalkan dakwah mereka sehingga orang-orang mukmin meninggalkan dakwah mereka, mengikut cara hidup mereka dan menyokong kebatilan mereka. Benarlah Allah s.w.t Yang Maha Agung apabila berfirman:
"Mereka tidak henti-henti memerangi kamu sampai mereka (dapat) mengembalikan kamu dari agamamu (kepada kekafiran), seandainya mereka sanggup". Al-Baqarah: 217
Firman Allah lagi:
"Jika mereka menangkap kamu, nescaya mereka bertindak, sebagai musuh bagimu dan melepaskan tangan dan lidah mereka kepadamu dengan menyakitimu, dan mereka ingin supaya kamu (kembali) kafir".
Al-Mumtahinah: 2
"Orang-orang Yahudi dan Nasrani tidak akan redha kepadamu hingga kamu mengikut agama mereka"
Al-Baqarah: 120
Sesungguhnya penyeksaan yang dimulakan oleh musuh-musuh Allah kerana akidahnya tidak akan berhenti selagi para penganut akidah itu tidak mahu meninggalkan akidah mereka atau sekurang-kurangnya goyah dengan pegangan akidah dan tidak melakukan kegiatan dakwah mereka. Atau tidak melakukan gerakan akidah dan dakwah mereka. Sesungguhnya ini bukanlah merupakan permusuhan peribadi atau tujuan duniawi kerana mereka telah menawarkan harta dan kuasa kepada Rasulullah s.a.w. lalu baginda menolaknya dengan penuh kemuliaan orang-orang yang beriman, kekuatan azam, berpegang teguh dengan akidah dan bekerja untuknya walaupun sikap yang tegas itu membawa kepada kebinasaannya dan Rasulullah s.a.w. telah bersabda dengan sabda yang tegas dan kekal:-
"Demi Allah sekiranya mereka meletakkan matahari di tangan kananku dan bulan di tangan kiriku supaya aku meninggalkan urusan ini, nescaya aku tidak akan meninggalkannya hinggalah Allah memberi kemenangan kerananya ataupun aku binasa kerananya ".
Para pendokong dakwah dan penganut akidah Islam, tidak akan meninggalkan akidah dan dakwah mereka. Mereka tidak akan berhenti dari melaksanakan tugas-tugas harakah dan kegiatan dakwah mereka dan tidak akan memberhentikan jihad dan perjuangan mereka lantaran rintangan, gangguan dan penyiksaan yang menimpa mereka. Kalau tidak, lebih baik mereka awal-awal lagi tidak tampil ke hadapan untuk memikul amanah ini dan tidak bangun melaksanakan segala tuntutannya.

Sumber: Tariq ad-Dakwah
 

Friday 27 July 2012

Adab Iktikaf

1. Disunatkan memenuhkan masanya dengan melakukan ketaatan kepada Allah seperti berzikir, membaca al-Quran dan perbincangan ilmu kerana semua ini akan mencapai maksud iktikaf.
2. Berpuasa. Iktikaf sambil berpuasa adalah lebih afdhal dan lebih mampu mematahkan syahwat jiwa dan mendatangkan kebersihan hati dan perasaan.
3. Iktikaf hendaklah dilakukan di masjid yang dilaksanakan solat Jumaat padanya.
4. Tidak bercakap melainkan perkara yang baik, tidak mencela, tidak mengumpat, tidak memfitnah, dan tidak bercakap kosong.

Sumber: Dr. Mustofa al-khin, Dr. Mustofa al-Bugho, Ali al-Sharbaji. Kitab al-Fiqh al-Manhaji.

Thursday 12 July 2012

GAMBARAN KEROSAKAN GENERASI KINI


Gambaran keadaan generasi pada hari ini pernah dijelaskan oleh Sayyid Qutub yang menerangkan bahawasanya;
            “Akal yang sedar tidak akan mencontohi perkara-perkara sepertimana dicontohi oleh manusia-manusia pada hari ini. Mereka ditimpa bencana akibat sifat mereka yang membuta tuli dari sudut perundangan, pegangan hidup, adat, dan sebagainya.
            Selain itu, pakaian yang beridentitikan Islam ditanggal dan digantikan pula dengan pakaian golongan yang tidak bertamadun, merasa kejang dalam usaha gerakan Islam, terjerit pekik seperti orang yang kesakitan, bergelak ketawa seperti orang kurang siuman, berakhlak mazmumah umpama orang yang hilang panduan, dan bercerita mengenai perkara-perkara yang tidak boleh diambil pengajaran.
            Di samping itu, peruntukan-peruntukan baru diwujudkan dengan tanpa barlandaskan garis panduan serta batasan yang disyaratkan oleh syarak. Jenayah pula dianggap hak dan begitulah sebaliknya.”


Sumber :  Sadiq Amin.  al-Dakwah al-Islamiyyah Tariq al-Khalas. . Dar al-Dacwah.

Saturday 23 June 2012

Keperluan MUJAHID/MUJAHIDAH di jalan Allah s.w.t

Syeikh Abu A'la al-Maududi merupakan salah seorang pimpinan jemaah di India telah menulis di dalam tulisan beliau (Peringatan untuk Para Du'at) mengenai keperluan mujahid di jalan Allah s.w.t. Antaranya adalah :

1. Bersifat SABAR di dalam perjuangan.
Sifat sabar seorang mujahid dapat dipupuk melalui cara istiqamah, melakukan sesuatu pekerjaan dengan besungguh-sungguh atau tekad yang tinggi, serta sentiasa berfikiran tenang.

2. MUJAHADAH pada jalan Allah s.w.t.
Antara rukun yang wajib diikuti dalam memiliki sifat mujahadah adalah beruzlah(bermuhasabah), berlapar, berqiamullail, dan berdiam diri.

3. BERSEMANGAT dan penuh harapan untuk mencapai matlamat dan diiringi dengan KEFAHAMAN.

4. Membiasakan diri dengan ISTIQAMAH dengan cara tersusun dengan cara mengislah diri dari sudut diri, ibadah, dan akhlak, merancang untuk bekerja, mengutamakan akhirat, serta sentiasa mendalami ilmu-ilmu fiqh, kontemporari, dan pergerakan.

Semoga kita tergolong dalam golongan yang berusaha mengembalikan keizzahan Islam yang dibawa oleh para Nabi dan Rasul di muka bumi Allah s.w.t.

Thursday 24 May 2012

Gahnya ISLAM di bulan REJAB

Peristiwa 1 :
Perutusan Zaid bin Harithah yang diketuai oleh Rasulullah s.a.w pada tahun ke-7H ke tempat yang diduduki oleh orang Yahudi seperti Khaibar, Fadak, dan Taima' bagi menggertak mereka. Mereka akhirnya membuat perjanjian damai dengan Rasulullah s.a.w seperti yang dilakukan oleh penduduk Yahudi Khaibar.

Peristiwa 2 :
Pembukaan Damsyik pada tahun ke-14H (630M) secara perdamaian. Abu Ubaidah dan Khalid bin al-Walid mengepung bandar itu sejak Rabiulakhir tahun 14H. Akhirnya, penduduk bandar itu setuju berdamai dengan membayar separuh daripada hasil gereja, rumah kediaman serta mereka dijamin melakukan sebarang ibadat. Begitulah perdamaian yang dilakukan oleh orang Islam dengan membiarkan sesuatu masyarakat yang ditakluki mereka untuk melakukan ibadat dengan bebas, menjamin keselamatan diri dan harta yang akhirnya mereka dapat memahami ajaran Islam dengan baik.

Sumber : Sirah bulan-bulan Hijrah, Dr. Engku Ahmad Zaki

Tuesday 15 May 2012

Hari-hari untukmu IBU


وَقَضَى رَبُّكَ أَلاَّ تَعْبُدُواْ إِلاَّ إِيَّاهُ وَبِالْوَالِدَيْنِ إِحْسَانًا إِمَّا يَبْلُغَنَّ عِندَكَ الْكِبَرَ أَحَدُهُمَا أَوْ كِلاَهُمَا فَلاَ تَقُل لَّهُمَآ أُفٍّ وَلاَ تَنْهَرْهُمَا وَقُل لَّهُمَا قَوْلاً كَرِيمًا(23) وَاخْفِضْ لَهُمَا جَنَاحَ الذُّلِّ مِنَ الرَّحْمَةِ وَقُل رَّبِّ ارْحَمْهُمَا كَمَا رَبَّيَانِي صَغِيرًا (24)
Maksudnya : 23. Dan Tuhanmu telah perintahkan, supaya engkau tidak menyembah melainkan kepadanya semata-mata, dan hendaklah engkau berbuat baik kepada ibu bapa. Jika salah seorang dari keduanya, atau kedua-duanya sekali, sampai kepada umur tua dalam jagaan dan peliharaanmu, maka janganlah engkau berkata kepada mereka (sebarang perkataan kasar) sekalipun perkataan "Ah", dan janganlah engkau menengking menyergah mereka, tetapi katakanlah kepada mereka perkataan yang mulia (yang bersopan santun).
24. Dan hendaklah Engkau merendah diri kepada keduanya kerana belas kasihan dan kasih sayangmu, dan doakanlah (untuk mereka, dengan berkata): "Wahai Tuhanku! Cucurilah rahmat kepada mereka berdua sebagaimana mereka telah mencurahkan kasih sayangnya memelihara dan mendidikku semasa kecil."
(Surah al-Isra’: Ayat 23-24)

Pengajaran yang dapat kita peroleh daripada dua ayat ini adalah :
1)      Jagalah ibu bapamu ketika usia mereka sudah lanjut.
2)      Jangan berkata kasar walaupun perkataan “Ah” lebih-lebih lagi perbuatan-perbuatan lain yang dianggap menyakiti hati mereka adalah tidak dibenarkan sama sekali.
3)      Ucapkanlah perkataan yang sopan dan indah kepada kedua orang tua.
4)      Sayangilah kedua-duanya.
5)      Mendoakan kesejahteraan ibu dan bapa di dunia dan akhirat.


Dari Abu Hurairah r.a, beliau berkata: “Seseorang pernah datang kepada Rasulullah s.a.w lalu bertanya: ‘Wahai Rasulullah s.a.w, siapakah orang yang paling berhak untuk aku pergauli dengan baik?’ Rasulullah menjawab: ‘Ibumu’ Orang tersebut bertanya: ‘Lalu siapa lagi?’ Rasulullah menjawab: ‘Ibumu’ Orang tersebut bertanya: ‘Lalu siapa lagi?’ Rasulullah menjawab: ‘Ibumu’ Orang tersebut bertanya: ‘Lalu siapa lagi?’ Rasulullah menjawab: ‘Bapamu.’”
(Imam Nawawi. Riyadhussalihin.)

Pengajaran yang boleh diambil daripada hadis ini adalah:
Rasulullah s.a.w mengutamakan kasih sayang kepada ibu adalah lebih berhak untuk di berikan. Ini kerana, sesungguhnya pengorbanan ibu sepanjang mengandung, melahir, dan mendidik anak-anaknya tidak dapat dinilai dengan harga yang ada di muka bumi ini.

Bersyukur ke hadhrat Allah s.w.t kerana telah mengurniakan kepada kita ibu yang rela berkorban apa sahaja. Semoga Allah s.w.t sahaja yang dapat membalas jasamu ibu. Hari-hari yang dilalui adalah hari ibu kerana galakan kepada berbakti kepada ibu khususnya serta bapa, tidak terhad kepada hari tertentu sahaja.

Berbaktilah kepada kedua orang tuamu selagi hayat mereka masih ada, tidak dilupakan juga, bakti terus disedekahkan buat mereka yang telah pergi meninggalkan kita untuk bertemu yang Maha Esa.

Waallahu a’lam. 



Saturday 21 April 2012

SAKIT TAK HALANG HAFAL 30 JUZUK


alt

Masalah kesihatan yang dialaminya tidak langsung mematahkan semangat beliau untuk terus menjadikan amalan menghafal al-quran sebagai rutin harian beliau.

Pada  29 Mac yang lalu, Unit Pembangunan Akademik ( IPT )Baitulmal  dengan diketua oleh Penolong Pengurus Ustaz Ahmad Fadli bin Adam telah turun padang bagi mengadakan sesi Perujian Tasmi' di bawah Skim Galakan Hafaz Al-Quran Baitulmal bersama-sama  Ustaz Ehsan bin Mohd Hosni Al-Hafiz, seorang juri tasmi’ yang dilantik. Ianya bertujuan untuk memenuhi permintaan pemohon Skim Galakan ini iaitu Cik Siti Nadhira Binti Mohd Shafie agar diadakan sesi tersebut di rumahnya yang  terletak di Kampung Pandan, Kuala Lumpur.

Apa yang lebih membanggakan ialah ini bukanlah kali pertama beliau menerima Bantuan Hazafan Al-Quran ini. Walaupun pergerakannya terbatas, tetapi semangat juangnya tidak pernah luntur. Sebelum ini beliau sihat seperti remaja lain, tetapi sejenis penyakit enzema yang dihadapinya menyebabkan beliau sukar untuk bergerak seperti biasa.

Skim Galakan Hafazan Al-Quran adalah merupakan satu insentif dibawah Skim Bantuan yang ditawarkan oleh Baitulmal MAIWP. Insentif ini  diberikan kepada para penghuffaz yang berjaya menghafal surah-surah di dalam Al-Quran berdasarkan bilangan juzu’ yang ditetapkan.

Bantuan diberikan mengikut jumlah juzu’ yang berjaya dihafal seperti berikut:
5 juzu’  (Juzu’ 1 hingga Juzu’ 5)       : RM1,000
10 juzu’ (Juzu’ 1 hingga Juzu’ 10)    : RM2,000
20 juzu’ (Juzu’ 1hingga Juzu’ 20)     : RM4,000
30 juzu’ (Juzu’ 1hingga Juzu’ 30)     : RM6,000

Bantuan yang diberikan bertujuan untuk terus menggalakkan budaya  amalan menghafal  al-quran kepada masyarakat Islam Malaysia terutamanya di kalangan anak-anak muda . Ianya juga merupakan usaha berterusan MAIWP dalam melahirkan generasi pelapis pemimpin yang celik al-quran.

** Sumber :  http://www.maiwp.gov.my