Thursday 24 May 2012

Gahnya ISLAM di bulan REJAB

Peristiwa 1 :
Perutusan Zaid bin Harithah yang diketuai oleh Rasulullah s.a.w pada tahun ke-7H ke tempat yang diduduki oleh orang Yahudi seperti Khaibar, Fadak, dan Taima' bagi menggertak mereka. Mereka akhirnya membuat perjanjian damai dengan Rasulullah s.a.w seperti yang dilakukan oleh penduduk Yahudi Khaibar.

Peristiwa 2 :
Pembukaan Damsyik pada tahun ke-14H (630M) secara perdamaian. Abu Ubaidah dan Khalid bin al-Walid mengepung bandar itu sejak Rabiulakhir tahun 14H. Akhirnya, penduduk bandar itu setuju berdamai dengan membayar separuh daripada hasil gereja, rumah kediaman serta mereka dijamin melakukan sebarang ibadat. Begitulah perdamaian yang dilakukan oleh orang Islam dengan membiarkan sesuatu masyarakat yang ditakluki mereka untuk melakukan ibadat dengan bebas, menjamin keselamatan diri dan harta yang akhirnya mereka dapat memahami ajaran Islam dengan baik.

Sumber : Sirah bulan-bulan Hijrah, Dr. Engku Ahmad Zaki

Tuesday 15 May 2012

Hari-hari untukmu IBU


وَقَضَى رَبُّكَ أَلاَّ تَعْبُدُواْ إِلاَّ إِيَّاهُ وَبِالْوَالِدَيْنِ إِحْسَانًا إِمَّا يَبْلُغَنَّ عِندَكَ الْكِبَرَ أَحَدُهُمَا أَوْ كِلاَهُمَا فَلاَ تَقُل لَّهُمَآ أُفٍّ وَلاَ تَنْهَرْهُمَا وَقُل لَّهُمَا قَوْلاً كَرِيمًا(23) وَاخْفِضْ لَهُمَا جَنَاحَ الذُّلِّ مِنَ الرَّحْمَةِ وَقُل رَّبِّ ارْحَمْهُمَا كَمَا رَبَّيَانِي صَغِيرًا (24)
Maksudnya : 23. Dan Tuhanmu telah perintahkan, supaya engkau tidak menyembah melainkan kepadanya semata-mata, dan hendaklah engkau berbuat baik kepada ibu bapa. Jika salah seorang dari keduanya, atau kedua-duanya sekali, sampai kepada umur tua dalam jagaan dan peliharaanmu, maka janganlah engkau berkata kepada mereka (sebarang perkataan kasar) sekalipun perkataan "Ah", dan janganlah engkau menengking menyergah mereka, tetapi katakanlah kepada mereka perkataan yang mulia (yang bersopan santun).
24. Dan hendaklah Engkau merendah diri kepada keduanya kerana belas kasihan dan kasih sayangmu, dan doakanlah (untuk mereka, dengan berkata): "Wahai Tuhanku! Cucurilah rahmat kepada mereka berdua sebagaimana mereka telah mencurahkan kasih sayangnya memelihara dan mendidikku semasa kecil."
(Surah al-Isra’: Ayat 23-24)

Pengajaran yang dapat kita peroleh daripada dua ayat ini adalah :
1)      Jagalah ibu bapamu ketika usia mereka sudah lanjut.
2)      Jangan berkata kasar walaupun perkataan “Ah” lebih-lebih lagi perbuatan-perbuatan lain yang dianggap menyakiti hati mereka adalah tidak dibenarkan sama sekali.
3)      Ucapkanlah perkataan yang sopan dan indah kepada kedua orang tua.
4)      Sayangilah kedua-duanya.
5)      Mendoakan kesejahteraan ibu dan bapa di dunia dan akhirat.


Dari Abu Hurairah r.a, beliau berkata: “Seseorang pernah datang kepada Rasulullah s.a.w lalu bertanya: ‘Wahai Rasulullah s.a.w, siapakah orang yang paling berhak untuk aku pergauli dengan baik?’ Rasulullah menjawab: ‘Ibumu’ Orang tersebut bertanya: ‘Lalu siapa lagi?’ Rasulullah menjawab: ‘Ibumu’ Orang tersebut bertanya: ‘Lalu siapa lagi?’ Rasulullah menjawab: ‘Ibumu’ Orang tersebut bertanya: ‘Lalu siapa lagi?’ Rasulullah menjawab: ‘Bapamu.’”
(Imam Nawawi. Riyadhussalihin.)

Pengajaran yang boleh diambil daripada hadis ini adalah:
Rasulullah s.a.w mengutamakan kasih sayang kepada ibu adalah lebih berhak untuk di berikan. Ini kerana, sesungguhnya pengorbanan ibu sepanjang mengandung, melahir, dan mendidik anak-anaknya tidak dapat dinilai dengan harga yang ada di muka bumi ini.

Bersyukur ke hadhrat Allah s.w.t kerana telah mengurniakan kepada kita ibu yang rela berkorban apa sahaja. Semoga Allah s.w.t sahaja yang dapat membalas jasamu ibu. Hari-hari yang dilalui adalah hari ibu kerana galakan kepada berbakti kepada ibu khususnya serta bapa, tidak terhad kepada hari tertentu sahaja.

Berbaktilah kepada kedua orang tuamu selagi hayat mereka masih ada, tidak dilupakan juga, bakti terus disedekahkan buat mereka yang telah pergi meninggalkan kita untuk bertemu yang Maha Esa.

Waallahu a’lam.