Wednesday 21 March 2012

Hukum Menggunakan Rawatan Terapi Larva (Maggot Debridement Therapy)Bagi Pesakit Luka Kronik

Keputusan:
Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-98 yang bersidang pada 13-15 Februari 2012 telah membincangkan Hukum Menggunakan Rawatan Terapi Larva (Maggot Debridement Therapy) Bagi Pesakit Luka Kronik. Muzakarah telah membuat keputusan seperti berikut:
Setelah meneliti keterangan, hujah-hujah dan pandangan yang dikemukakan, Muzakarah menegaskan bahawa Islam tidak pernah melarang bahkan menggalakkan umat Islam mencari penawar kepada penyakit yang dialami sepertimana sabda Rasulullah SAW ketika ditanya oleh para sahabat:

فَقَالُوْا: "يَا رَسُوْلَ اللهِ! هَلْ عَلَيْنَا جُنَاحٌ أَنْ لاَ نَتَدَاوَى؟" قَالَ: "تَدَاوَوْا، عِبَادَ اللهِ! فَإِنَّ اللهَ سُبْحَانَهُ لَمْ يَضَعْ دَاءً إِلاَّ وَضَعَ مَعَهُ شِفَاءً. إِلاَّ الْهَرَمَ". رواه ابن ماجه
Maksudnya:
Para sahabat bertanya: “Wahai Rasulullah, adakah berdosa jika kami tidak merawat (penyakit kami)?” Rasulullah bersabda, “Dapatkanlah rawatan wahai hamba-hamba Allah! Sesungguhnya Allah Yang Maha Suci tidak menjadikan sesuatu penyakit melainkan dijadikan bersama-samanya penawar, melainkan penyakit tua”. (Riwayat Ibn Majah)
Penegasan ini juga adalah selaras dengan kaedah fiqhiyyah yang menyebutkan bahawa : “Kemudaratan perlu dihilangkan” (الضرر يزال).
Muzakarah berpandangan bahawa asal sesuatu haiwan itu adalah suci melainkan babi dan anjing yang jelas hukumnya najis. Pandangan ini adalah selaras dengan kaedah fiqhiyyah yang menetapkan bahawa:

الأَصْلُ فِي الأَشْيَاءِ الإِبَاحَةِ حَتَّى يَدُلَّ الدَّلِيْلُ عَلَى التَّحْرِيْمِ
Maksudnya: “Hukum asal dalam semua perkara (kecuali ibadat dan hubungan lelaki dan perempuan) adalah harus dilakukan kecuali terdapat dalil yang menyatakannya sebagai haram.”

Muzakarah juga berpandangan bahawa hukum bagi bangkai haiwan yang tidak mempunyai darah adalah suci. Ini bermakna, sekiranya larva yang digunakan semasa proses rawatan tersebut mati, maka hukumnya adalah suci kerana komponen tubuh larva itu sendiri tidak mengandungi darah. Justeru, ia tidak menjejaskan kesucian ibadah seseorang pesakit yang menjalani Rawatan Terapi Larva tersebut.
Sehubungan itu, selaras dengan ketetapan-ketetapan tersebut Muzakarah bersetuju memutuskan bahawa hukum menggunakan Rawatan Terapi Larva (Maggot Debridement Therapy) bagi pesakit luka kronik adalah harus dan ibadah yang dilakukan oleh pesakit terutamanya solat ketika menjalani rawatan terapi ini adalah sah.
Muzakarah juga memutuskan bahawa pesakit luka kronik yang menjalani rawatan ini dibolehkan bertayammum untuk mengangkat hadas besar atau hadas kecil bagi mengelakkan mudarat apabila terkena air pada anggota yang sakit. Sebagai panduan melaksanakan ibadah, pesakit boleh merujuk kepada Panduan Tayammum, Wuduk dan Solat Bagi Pesakit yang diterbitkan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).

Sumber : http://www.e-fatwa.gov.my

Saturday 10 March 2012

Hukum Penggunaan Indelible Ink

Keputusan:
Muzakarah Khas Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia yang bersidang pada 11 Januari 2012 telah membincangkan mengenai Hukum Penggunaan Indelible Ink. Muzakarah telah membuat keputusan seperti berikut:
Berdasarkan pembentangan laporan analisis kimia, taklimat dan penjelasan daripada Jabatan Kimia Malaysia serta penjelasan daripada Suruhanjaya Pilihanraya Malaysia (SPR), adalah didapati Indelible Ink tidak mengandungi bahan-bahan najis yang diharamkan oleh syarak, tidak memberikan kesan mudharat dan tidak menghalang air untuk sampai ke kulit (telap air) apabila digunakan.
Sehubungan itu, Muzakarah bersetuju memutuskan bahawa dari aspek syarak penggunaan Indelible Ink adalah harus dan dibenarkan kerana ia tidak akan menimbulkan sebarang masalah kepada ibadah umat Islam. Keputusan ini hanya tertakluk kepada bahan yang telah dikemukakan oleh SPR dan diuji oleh Jabatan Kimia Malaysia sahaja.

Sumber : http://www.e-fatwa.gov.my

Keperluan sistem KHALIFAH

Antara matlamat Allah s.w.t menciptakan manusia adalah menjadi khalifah di bumi. Kewajipan ini yang kedua selepas kewajipan beribadat. Perkara ini diisytiharkan kepada malaikat.

Allah s.w.t berfirman dalam al-Quran yang bermaksud :

“ Dan (ingatlah) ketika Tuhanmu berkata kepada Malaikat, ‘Sesungguhnya Aku mahu menjadikan seseorang khalifah di bumi.’ Mereka bertanya (tentang hikmat ketetapan Tuhan itu dengan berkata), ‘Adakah Engkau (Ya Tuhan kami) hendak menjadikan di bumi itu orang yang akan membuat bencana dan menumpahkan darah (berbunuh-bunuhan), sedangkan kami sentiasa bertasbih dengan memujiMu dan mensucikanMu?’ Tuhan berkata, ‘Sesungguhnya Aku mengetahui apa yang tidak kamu mengetahuinya.’” (Surah al-Baqarah : Ayat 30)

Khilafah adalah kewajipan menegakkan agama dan mentadbir urusan dunia dengannya. Ia boleh disebut dengan kewajipan berpolitik. Kewjipan ini dilaksanakan oleh semua para rasul sejak Adam sehingga Muhammad sallahu’alaihi wasallam.

Mereka berdakwah dan berpolitik, membawa maksud mengajak manusia kepada Islam dengan makna yang menyeluruhdan sempurna dari segi aqidah, syariat, akhlak, dan pemerintahan yang mendaulatkannya.

Islam menegaskan kewjipan memilih dan mengikut pemimpin adalah amanah besar dalam kehidupansebelum menuju akhirat.

Saidina Umar menegaskan,

“ Sesiapa yang melantik pemimpin kerana harta ataupun hubungan keluarga, bukan kerana kelayakannyam mereka, sesungguhnya dia mengkhianati Allah s.w.t dan Rasulnya sallahu’alaihi wasallam. “

Ini menunjukkan urusan kepimpinan negara adalah kewajipan yang besar dalam ajaran Islam. Ajaran pemisah agama daripada politik adalah menyalahi ajaran Islam yang sempurna.