Thursday 26 January 2012

SEMPENA MAULIDURRASUL : KELAHIRAN YANG MEMBAWA RAHMAT

Kelahiran Rasulullah sallahu ‘alaihi wasallam

Baginda sallahu ‘alaihi wasallam dilahirkan di Makkah pada hari Isnin, 12 Rabiul Awwal Tahun Gajah, bersamaan 20 April, tahun 570 Masihi.

Diriwayatkan oleh Imam Ahmad r.a, daripada Ibnu Abbas r.a berkata; Sesungguhnya Rasulullah sallahu ‘alaihi wasallam dilahirkan pada hari Isnin, keluar berhijrah dari Makkah ke Madinah pada hari isnin, tiba di Madinah pada hari isnin, dan Baginda sallahu ‘alaihi wasallam wafat pada hari Isnin. Rasulullah sallahu ‘alaihi wasallam juga mengangkat Hajarul Aswad ketika Ka’bah dibangunkan oleh kaum Quraisy pada hari Isnin juga.

Disini tempat kelahiran Rasulullah sallahu ‘alaihi wasallam (kini didirikan perpustakaan)

Hikmah Nabi sallahu ‘alaihi wasallam Dilahirkan Pada Bulan Rabiul Awwal

Ibnu al-Haj berkata; Apakah hikmah Rasulullah sallahu ‘alaihi wasallam dilahirkan pada bulan Rabiul Awwal dan pada hari Isnin? Mengapakah Rasulullah sallahu ‘alaihi wasallam tidak dilahirkan pada bulan Ramadhan iaitu pada masa al-Qur’an diturunkan dan terdapatnya malam Lailatul Qadar atau pada malam Nisfu Sya’ban atau hari Juma’at? Jawapannya adalah :

Di dalam sebuah hadith menceritakan, Allah s.w.t telah menjadikan pokok-pokok kayu pada hari Isnin. Maka kelahiran Rasulullah sallahu ‘alaihi wasallam pada bulan Rabiul Awwal adalah seperti tumbuhnya pokok-pokok tersebut yang memberikan makanan yang dapat dimakan sepanjang tahun dan untuk kesenangan hidup.

Rabi’ bermaksud musim bunga dan musim bunga adalah seadil-adil dan seelok-elok musim. Begitu juga syari’at yang dibawa oleh Rasulullah sallahu ‘alaihi wasallam adalah seadil-adil syariat dan semudah-mudahnya.

PERANAN SIRAH NABI MUHAMMAD S.A.W DALAM MEMAHAMI ISLAM YANG SEBENAR.

Nabi Muhammad s.a.w penghulu sekalian nabi serta memiliki pelbagai gelaran yang indah seperti al-Amin, Ahmad, dan sebagainya, merupakan qudwah atau contoh segenap lapisan ummah. Bermula dari kelahiran sehingga ke penghujung hayat Baginda s.a.w, Allah s.w.t telah aturkan setiap detik peristiwa yang dilalui Baginda s.a.w dengan penuh hikmah.

Sejarah Nabi Muhammad s.a.w teramat sarat dengan pelbagai teladan yang boleh dicontohi. Kekasih Allah s.w.t ini mempunyai keperibadian yang sangat luhur sehingga menjadi insan yang amat dipercayai di kalangan keluarga dan sahabat. Sikap lemah-lembut bersama para sahabat, kepimpinan di dalam pentadbiran, bijak dan cekap di dalam aturan strategi peperangan, dapat dirasai melalui sorotan kisah-kisah Baginda s.a.w melalui nukilan ulama’-ulama’ terdahulu.

Lantaran itu, ulama’-ulama’ terulung seperti Muhammad Sa’id Ramadhan al-Buti, Ibnu Qayyim al-Jauziy, Abu Muhammad Abdul Malek, Muhammad bin Ishaq serta ramai lagi ulama’ termasyhur, mengambil inisiatif membukukan perjalanan hidup insan terulung ini.

Tujuan utama pembukuan riwayat hidup Nabi Muhammad s.a.w adalah supaya setiap Muslim dapat memahami, menganggap dan menggambarkan bahawa hakikat zahir dan batin Islam, semuanya teradun di dalam penghidupan Rasulullah s.a.w itu sendiri.

Muhammad Sa’id Ramadhan al-Buti di dalam kitab karangan beliau, Fiqh Sirah, ada menyebutkan mengenai tujuan lain pembukuan riwayat hidup Nabi Muhammad s.a.w

adalah :

1. Memahami peribadi Nabi Muhammad s.a.w menerusi penghidupan dan suasana hidup baginda sendiri. Ini adalah untuk menentukan Baginda s.a.w itu bukan sebagai manusia pintar tetapi sebenarnya adalah pesuruh Allah s.w.t yang menerima wahyu dan taufiq dariNya.

2. Supaya manusia seluruhnya dapat meniru dan mengikut suatu contoh yang unggul dalam segenap lapangan hidup yang harmoni serta dijadikan sebagai dasar hidupnya.

3. Supaya rentetan hidup perjalanan Baginda s.a.w dapat membantu sekalian manusia memahami isi kandungan al-Quran dek kerana kebanyakan ayat suci al-Quran yang dihurai dan ditafsirkan melalui kejadian dan peristiwa yang dialami sendiri oleh Baginda s.a.w.

4. Agar setiap Muslim dapat mempelajari pengetahuan Islam yang sebenar sama ada dari segi ‘aqidah, hukum-hakam di dalam Islam atau tatasusilanya. Ini adalah kerana penghidupan Nabi Muhammad s.a.w adalah satu gambaran dengan dimensinya yang jelas bagi prinsip-prinsip dan hukum-hukum Islam.

5. Membolehkan para pendakwah mencontohi Baginda s.a.w sebagai pendidik, penasihat, dan guru yang utama, yang tidak pernah membuang masa begitu sahaja malah sentiasa mencari jalan serta sistem-sistem pengajaran yang terbaik semasa Baginda s.a.w berdakwah.

Semoga tujuan atau objektif yang digariskan oleh ilmuwan Islam terdahulu melalui penghadaman riwayat hidup kekasih Allah s.w.t ini, dapat melahirkan Muslim sejati yang betul-betul memahami hakikat Islam itu sendiri seterusnya diterjemahkan di dalam kehidupan seharian.

Tidak syak lagi bahawasanya dengan mempelajari sejarah hidup Nabi Muhammad s.a.w adalah langkahan kepada memahami semua sudut kemanusiaan.

Sumber : Doktor Muhammad Sa’id Ramadhan al-Buti, Fiqh Sirah, Dar al-Salam, Mesir.

Friday 20 January 2012

KUTIPAN ZAKAT WILAYAH PERSEKUTUAN 2011 RM341.33 JUTA

12 Januari- Jumlah kutipan zakat yang berjaya dikutip oleh MAIWP melalui Pusat Pungutan Zakat MAIWP (PPZ-MAIWP) pada tahun 2011 adalah sebanyak RM341.33 juta.

Jumlah ini melebih sasaran yang ditetapkan sebanyak RM300 juta dan meningkat sebanyak 24% berbanding kutipan zakat tahun 2010 sebanyak RM275.64 juta. Bilangan pembayar juga telah meningkat daripada 89,110 orang pembayar pada tahun 2010 kepada 100,497 orang pada tahun 2011 dengan bilangan pembayar baru seramai 21,149 orang.

Dengan kutipan tersebut, jumlah kutipan zakat oleh PPZ-MAIWP sejak penubuhannya pada tahun 1991 adalah sebanyak RM2.24 billion. Prestasi kutipan zakat PPZ-MAIWP 2011 telah diumumkan oleh YBhg. Dato’ Mustafa bin Abdul Rahman, Pengerusi PPZ-MAIWP dalam Sidang Media Pengumuman Prestasi Zakat PPZ-MAIWP 2011 yang diadakan pada 12 Januari 2012 di di ibu pejabat MAIWP di Dewan Seminar, Aras 1, Bangunan PERKIM.

Menurut YBhg. Dato’ Mustafa, peningkatan tersebut adalah disebabkan peningkatan kesedaran berzakat di kalangan umat Islam dan kerjasama yang baik dengan media massa dalam mempromosikan mengenai kutipan zakat. “Sokongan daripada pelbagaii pihak seperti Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Jabatan Wakaf, Zakat dan Haji (JAWHAR) , MAIWP dan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) telah turut membantu PPZ-MAIWP dalam meningkatkan kutipan zakat pada tahun 2011,” ujar beliau lagi.


YBhg. Dato' Mustafa bin Abdul Rahman, Pengerusi PPZ-MAIWP (2 dari kiri) mengumumkan prestasi kutipan zakat PPZ-MAIWP bagi tahun 2011.. Turut hadir di majlis tersebut adalah (dari kanan) YBhg. Dr. Muhammad Yamin bin Ismail, Ketua Pegawai Eksekutif MAIWP; YBhg. Datuk Haji Che Mat bin Che Ali, Pengarah JAWI merangkap Setiausaha MAIWP dan Tuan Haji Rais bin Alias, Ketua Pegawai Eksekutif PPZ-MAIWP

Penyerahan replika cek jumlah kutipan zakat 2011 daripada PPZ-MAIWP kepada MAIWP

Sunday 15 January 2012

Hukum Penubuhan Bank Susu

Keputusan:


Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-97 yang bersidang pada 15-17 Disember 2011 telah membincangkan mengenai Hukum Penubuhan Bank Susu. Muzakarah telah membuat keputusan seperti berikut:


Setelah mendengar taklimat dan penjelasan pakar serta meneliti keterangan, hujah-hujah dan pandangan yang dikemukakan, Muzakarah berpandangan bahawa menjaga keturunan adalah termasuk dalam lima perkara yang wajib dipelihara dalam syariat Islam. Oleh itu, apa-apa tindakan atau perbuatan yang boleh mendatangkan kemudaratan kepada nasab atau keturunan perlulah dielakkan.


Muzakarah juga berpandangan bahawa hukum penubuhan bank susu amat berkaitrapat dengan syarat-syarat pengharaman atas sebab susuan di mana bayi-bayi yang menyusu dengan seorang wanita atau lebih daripada seorang wanita akan menjadi adik beradik susuan dan perkahwinan antara mereka adalah haram apabila memenuhi syarat-syarat yang telah ditetapkan.


Pandangan ini adalah selaras dengan pandangan Jumhur Fuqaha’ bahawa seseorang bayi itu sah sebagai anak susuan samada melalui penyusuan secara langsung dari payudara atau penyusuan secara tidak langsung. Juga berdasarkan hadith riwayat Abu Daud:

عَنْ ابْنِ مَسْعُودٍ قَالَ لا رِضَاعَ إِلا مَا شَدَّ الْعَظْمَ وَأَنْبَتَ اللَّحْم

( رواه أبو داود )

Maksudnya:
Daripada Ibn Mas`ud berkata, tidak berlaku hukum penyusuan melainkan dengan apa yang menguatkan tulang dan menumbuhkan daging.


Sehubungan itu, memandangkan penubuhan bank susu boleh mengakibatkan percampuran nasab dan membawa umat Islam terjebak dalam keraguan dan perkara yang haram, dan keperluan penubuhannya juga tidak berada dalam keadaan darurat sehingga mengancam maslahah awam, Muzakarah bersetuju memutuskan bahawa penubuhan bank susu adalah tidak diharuskan.


Muzakarah juga memutuskan bahawa bagi memenuhi keperluan bayi pra-matang yang memerlukan rawatan, juga ibu yang mempunyai kekurangan susu atau mempunyai penyakit kronik/berjangkit dan tidak dapat menyusukan bayi, adalah harus bagi ibu-ibu menderma susu ibu secara sukarela kepada bayi-bayi yang memerlukan dan keluarga bayi serta perderma perlu mengenali antara satu sama lain.


Sumber : http://www.e-fatwa.gov.my